Tuesday, February 15, 2011

SSP WIND MENYERTAI "FLASH MOB" SEMPENA SAMBUTAN 50 TAHUN ORKESTRA RTM








Pada 22 Januari 2011 (Sabtu), Pasukan Wind Orchestra Sekolah Seri Puteri (SSP Winds) telah mengadakan persembahan berkonsepkan ''Flash Mob" sempena promosi Sambutan Gemilang 50 Tahun Orkestra RTM di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. SSP Winds dengan ahli seramai 65 orang murid telah menunujukkan persembahan yang mantap dengan disaksikan oleh ribuan pengunjung Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Lokasi persembahan berlangsung di Pintu Masuk Utama Berjaya Times Square. Persembahan SSP Winds juga mendapat liputan daripada krew penerbitan RTM yang akan menyiarkan persembahan mereka ini dalam rancangan 'Muzik Aktif' melalui saluran ASTRO 180 pada bulan Mac 2011.Persembahan SSP Winds dimulakan tepat pada jam 5 petang dengan lagu instrumental pertama "Stand By Me" diikuti lagu instrumental kedua "Two World" (from soundtrack filem "Tarzan") dan lagu ketiga "Tak Mungkin Kerana Sayang"mengiringi artis popular Alyah. SSP Winds telah mendapat tepukan yang gemuruh daripada ribuan penonton yang menyaksikan persembahan tersebut. Antara yang hadir menonton dan memberikan sokongan ialah Puan Pengetua Cemerlang, Puan Hajah Rashidah Md. Arif, Penolong Kanan Kokurikulum En. Ab. Aziz Mamat, Pegawai-pegawai dari BPSBPSK, Kementerian Pelajaran Malaysia, guru-guru Sekolah Seri Puteri, dan bekas murid SSP. Pasukan SSP Winds telah mendapat jemputan khas dari pihak RTM melalui BPSBPSK, KPM untuk membantu mempromosikan Sambutan Gemilang 50 Tahun Orkestra RTM.

Persiapan dan latihan intensif untuk menjayakan persembahan ini telah dibuat sejak awal Januari 2011 dan SSP Winds menjadi sekolah pertama membuat persembahan berkonsepkan "Flash Mob" dengan mengiringi artis popular tempatan. Raptai 1 untuk persembahan ini telah diadakan pada 19/1/2011 di SSP, Raptai 2 pada 20/1/2011 di SSP, Raptai Penuh pada 21/1/2011 di Angkasapuri dan Berjaya Times Square bersama krew penerbitan RTM. Raptai penuh di Berjaya Times Square bermula pada jam 11 malam dan berakhir pada jam 2.30 pagi. Ucapan terima kasih kepada Penolong Kanan HEM Puan Monarazmah dan guru-guru pengiring kerana sabar menunggu dan mengawasi ahli-ahli SSP Winds membuat raptai penuh sehingga awal pagi.  Ini menunjukkan bahawa para guru termasuk pentadbir sekolah sangat komited dalam tugas mereka. Program ini juga adalah satu pengalaman yang sangat berharga kepada semua ahli SSP Winds dalam persediaan mereka untuk merebut kembali trofi kejuaraan Festival Wind Orchestra yang bakal berlangsung pada bulan April 2011 di Putrajaya. Ucapan terima kasih juga dikalungkan buat pihak RTM kerana telah memberi tunjuk ajar yang berguna kepada ahli-ahli SSP Winds. Ucapan jutaan terima kasih juga kepada Pihak Pentadbiran Tertinggi Sekolah, Guru-guru pengiring, dan seluruh warga SSP kerana telah memberikan kerjasama dan sokongan padu demi kejayaan SSP Winds dalam langkah mereka untuk terus mengharumkan nama Sekolah Seri Puteri Cyberjaya ke peringkat yang tertinggi.

No comments:

Post a Comment